Wednesday 19 January 2011

Faktor penyebab dan cara-cara melayani anak-anak yang suka merengek

1. Keadaan fizikal anak

Anak yang mengantuk, kepanasan, kedinginan, kelaparan, kehausan dan tidak sihat umumnya suka merengek.

Sikap Ibubapa:

Perlu peka terhadap keadaan fizikal anak dan cari punca kenapa anak merengek dan selesaikan permasalahan itu. Umumnya dalam keadaan ini, anak akan kembali ceria jika keperluan fizikalnya sudah dilayani

2. Mencari perhatian

Kadang-kadang anak inginkan perhatian.Ini sering berlaku kerana ibubapa biasanya memberikan perhatian kepada anak hanya bila dia merengek sedangkan tidak ketika anak berkelakuan baik. Akibatnya, si anak "belajar" bahwa keinginannya(perhatian) hanya akan dipenuhi sekiranya dia merengek-rengek sambil menangis.

Sikap ibubapa:

* Jangan berikan perhatian istimewa ketika anak merengek. Jangan penuhi permintaannya sehingga ia menyedari bahwa cara yang telah dilakukan itu tidak benar. Tindakan ini juga dapat mendidik anak mengendalikan dirinya.

* Ajak anak berkomunikasi dengan baik, didiklah dia bahwa cara yang dilakukannya itu adalah salah. Misal, "Kalau merengek macam ni.. ibu tak tahu dan tidak faham apa yang Nina mahu. Cuba cakap baik-baik dengan ibu, beritahu elok-elok dengan ibu apa yang Nina mahu.."

* Berilah perhatian kepada anak setiap masa, terutama ketika dia berkelakuan baik dan tidak merengek. Bentuk perhatian itu cukup dengan kata-kata seperti, "Ibu bangga Nina tidak merengek ketika mandi tadi.."

3. Ingin menunjukkan kekuatannya

Anak kecil memiliki kecenderungan untuk menolak atau membantah terhadap ibubapa. Anak-anak ingin menunjukkan bahwa dirinya pun mempunyai keinginan atau pendapat. Oleh itu, ibubapa tidak perlu risau sekiranya dalam banyak perkara anak kecil kerap menolak dan lebih menyenangi pilihannya sendiri. Bila keinginannya tidak terpenuhi, ia akan menyebabkan anak merengek. Apalagi ramai ibubapa yang bersikap memaksakan anak mengikut kehendak mereka karena merasakan ibubapalah yang paling berkuasa.

Sikap Ibubapa:

Jangan memaksa anak mengikut keinginan kita. Cubalah secara diplomasi seperti memberi pilihan kepada anak asalkan matlamat asal kita tercapai. Melalui cara ini, kita sebenarnya mendidik anak untuk membuat keputusan sehingga dapat memupuk rasa keyakinan diri pula. Contohnya, bila anak menolak untuk dimandikan, berilah pilihan, "Nina nak mandi dengan air panas atau air sejuk?" Melalui cara ini, tujuan untuk memandikan anak dapat dicapai dan anak pula boleh membuat keputusan dari dua pilihan itu sehingga tidak terasa seperti dipaksa oleh ibubapanya. Sedikit sebanyak anak merasakan bahawa dia berkuasa ke atas dirinya sendiri.

4. Terluka perasaannya

Biasanya ini terjadi bila anak dimarahi. Ini juga akan membuatkan anak merengek dan mungkin tanpa sedar mengucapkan kata-kata yang menyakitkan, seperti, "Nina benci pada ibu." Ungkapan itu sesungguhnya hanya untuk menunjukkan rasa sedihnya. Namun, bila mendengar ucapan itu ramai ibubapa menjadi semakin marah.

Sikap Ibubapa:

Ibubapa harus bersabar. Peluklah anak sambil menenangkannya seperti, "Ibu sayang pada Nina. Nina jangan menangis lagi ye.." Dengan pelukan dan ucapan yang menenangkan itu akan membuat anak merasa tenang dan merasa dirinya dilindungi.


5. Tidak mampu melakukan sesuatu

Ibubapa tanpa sedar sering meminta dan mengharapkan anaknya melakukan sesuatu seperti orang dewasa. Ketika makan, misalnya, tanpa sedar ibubapa meminta atau mengharapkan anak makan dengan cepat dan tidak menumpahkan makanan, padahal anak kecil belum mampu melakukannya. Ini pun boleh menyebabkan anak-anak merengek.

Sikap Ibubapa:

Jangan memaksa anak melakukan sesuatu yang memang belum mampu dilakukannya. Sentiasa berikan penghargaan walaupun kejayaan yang dicapai sangat kecil untuk mendorong semangatnya sekaligus membangun rasa keyakinan diri. Contoh, "Wah, Nina suka makan sayur ya...tinggal sedikit lagi tu.. cuba habiskan.." Penghargaan itu diberikan ketika anak mampu melakukan sesuatu yang positif.

No comments: