Monday 24 January 2011

Cintaku Milik Siapa

WAJAH mama yang kelihatan sugul membuatkan jiwanya tidak tentu arah. Semalam lagi mama sudah ceritakan segalanya. Diana dengan yakinnya kata dia tidak akan bahagia kalau kahwin dengan aku. Huh! Dengusan kasar dilepaskan. ‘Habis kalau dia kahwin dengan siapa yang dia akan bahagia? Perompak?Lanun?!’ marahnya dalam hati.

Apa yang susah sangat untuk gadis itu menerimanya. Sudah dipujuk dan dirayu tetapi masih keras macam batu. Sudah cukup bagus rasanya dia bersetuju untuk mengahwini gadis itu. Bukannya dia itu lawa mana pun, tapi demand macam dia itu Miss Universe saja gayanya. Kutuknya lagi. Ikutkan hati yang tengah panas ditambah dengan wajah sugul mama yang semakin membuatkan jiwanya tidak menentu hendak saja dia bertemu face-to-face dengan Diana yang degil itu pada saat ini juga!

Masih terngiang-ngiang di dalam pendengarannya, ‘I dare you!’ kata yang diungkapkan oleh Diana ketika pertemuan mereka berlangsung untuk membincangkan tentang perihal perkahwinan yang menjadi impian mama. Dengusan kasar dilepaskan lagi. Dia benar-benar tidak berpuas hati. Aku takkan lepaskan Ana dengan mudah! Ana akan kahwin dengan aku juga!!! Tekadnya dalam hati.
‘Paksa ke, tak rela ke, dia kena berkahwin dengan aku jugak!!!’ fikirnya dengan angkuh.
“Riz…,” suara mama yang lembut menyapa pendengarannya. Lantas dia tersenyum membalas senyuman mama.

“Mama minta maaf… mama terlalu memaksa…,” mama memulakan kata-kata. Fariz sudah dapat menangkap perihal perkara yang hendak mama cakapkan. Pastinya tentang Diana. Apa yang terlalu istimewanya gadis itu sehingga mama terlalu berkenankan dia? Sampai mama dah tak nampak wajah orang lain? Walaupun hatinya sakit dengan keputusan mama yang beria-ria menyuruhnya mengahwini Diana, tetapi untuk kebahagiaan mama, dia tidak kisah.
“Mama… mama…,” tersangkut-sangkut kata-kata mama. “Mama sayang sangat dengan Ana…,” ucap mama dengan sayu. Kesal mungkin sebab Diana tidak menerima lamarannya. Fariz terus saja memaut bahu mama.

“Mama… kita bagi masa lagi pada Ana, biar dia fikir… kalau kita mendesak macam ni, memang dia takkan setuju. Kita tunggu lagi seminggu dua… kita bagi dia fikir,” ucap Fariz tenang. ‘Aku akan buat kau bersetuju Ana! Kau takkan dapat lari dari aku!’ sambungnya dengan perasaan marah. Mulut kata lain, hati kata lain.
Pandangan mama nyata kembali bersinar mendengar kata-kata pujukan dari bibir Fariz. Mungkin salahnya juga terlalu mengharapkan jawapan dalam masa yang singkat. Benar, Ana memerlukan waktu untuk berfikir dan selepas itu dia mungkin akan bersetuju. Fikir mama sendiri.
Serentak itu senyuman manis diukirkan di bibirnya. Dia sudah boleh fokus dengan kerja-kerja lain.
Fariz yang melihat perubahan mood mama juga mengukir senyuman. Lega rasanya apabila wajah mama tidak sugul seperti tadi. Nyata ‘aura’ Diana begitu kuat mengikat diri mama untuk terus berharap pada gadis itu. ‘Riz akan desak dia mama!’.

DIANA awal-awal lagi sudah melangkah masuk ke bilik saat rumahnya menerima kunjungan tetamu yang tidak diundang itu. Tetapi emaknya overexcited, menyuruhnya duduk sama di ruang tamu. ‘Apa rumah aku ini besar sangat ke, sampai nak duduk dekat hall pun kena berteman!’ desisnya geram. Bertambah-tambah menyampah bila orang itu mula menghadiahkan senyuman.

Diana mengalihkan pandang ke arah lain. Tak sudi pun nak menerima senyuman itu. Entah ikhlas atau tidak. Macam dia tidak kenal saja dengan sikap jejaka yang bernama Fariz ini. Lelaki angkuh dan berlagak ini mana pernah menghulurkan sesuatu tanpa mengharapkan balasan. Huh! Hati Diana terasa bergelodak kembali.
‘Aku fikir sudah selesai masalah ini, rupanya tidak lagi’ fikir Diana. Dia sudah tidak mampu bertenang lagi-lagi apabila mata lelaki itu tidak beralih dari wajahnya. Walaupun memandang dengan ekor mata, dia perasan juga!

“So… tunggu apa lagi? Pergilah siap!” Fariz sudah mula memberi arahan. Diana yang diam tidak berkutik di tempat duduk hanya melengahkan masanya.
Diana pula sudah mengetap bibir mendengar arahan dari bibir lelaki angkuh itu. Ewah-ewah! Bukan main lagi dia bagi arahan, dia ingat dia itu siapa nak arah-arah aku! Sudahlah datang tak berjemput. Kutuk Diana dalam hati.

“Ana… pergilah siap cepat,” nada Fariz terus berubah lembut saat Puan Laila menghidangkan air untuknya. Dia mengukir senyuman paling manis untuk bakal mak mentua.
Puan Laila sudah teruja. Wajahnya dikalih pada Diana pula. “Diana pi siap cepat… Fariz nak ajak hang keluaq,” ucap Puan Laila dengan ceria.
Diana sudah menjeling. Geram kerana dirinya terus dipaksa. Kebencian untuk Fariz terus bertambah-tambah. Kakinya dihentak-hentak ke lantai sebelum dia bergerak ke bilik.
Puan Laila sudah menjegil tajam melihat Diana yang sudah masuk dalam bilik. Siap dihempas pintu kuat. Wajah Fariz kelihatan terkejut, tidak menyangka Diana akan bereaksi begitu. Senyuman kelat menghiasi bibir.
“Fariz jangan ingat apa-apa na… Ana tengah celaru. Tu yang dia duk buat perangai macam ni…,” ucap Puan Laila dengan serba salah. Malu dengan sikap Diana, tidak menjaga langsung tertib sopan didepan tetamu mereka. Nanti apa pula difikirkan Fariz nanti.

Namun senyuman di bibir Fariz sudah mampu membuatkan Puan Laila menarik nafas lega. Nyata Fariz tidak mengambil hati. Lagipun Fariz sudah mengenali sikap Ana yang kepala batu sejak kecil lagi. Fikirnya.
Selepas sejam, baru wajah Diana yang telah bersiap muncul dari dalam bilik. Sengaja dia berbuat begitu. Sengaja bersiap lambat-lambat. Sengaja dia hendak menghangatkan hati Fariz. Kalau Fariz boleh bagi dia sakit hati, dia pun boleh membalas juga. Saat wajah kelat Fariz menyapa pandangan mata, Diana menarik senyuman puas. ‘Padan muka!’.

“Kami minta diri dulu,” ucap Fariz sambil menyalami tangan Puan Laila dengan sopan. Diana sudah menjeling ke arah dinding. Menyampah rasa hati melihat lakonan pelakon tak bertauliah ini. Selepas Fariz dia pula mengambil giliran bersalam dengan emaknya.
Tangan Diana laju saja mencapai kunci kereta yang tergantung di dinding. Tetapi dihalang oleh Fariz. Diana hanya memandang pelik.

“Naik kereta abang…,” tutur Fariz selamba. Bibirnya terus saja mengukir senyuman nakal saat Diana membuat mimik muka tidak percaya mendengar kata ganti dirinya yang baru.
Diana mengibas wajahnya dengan telapak tangan. Terasa hendak pengsan pun ada. ‘Abang!!! Euuwww… tak kuasa nak melayan!!!’ desis hatinya. Bibirnya dijuihkan. Bertambah-tambah menyampah rasanya dengan lelaki bernama Fariz ini.

Sunyi sepi keadaan antara mereka berdua. Hanya muzik yang berkemundang dari siaran radio yang menghidupkan suasana bising dalam kereta. Diana sejak masuk ke dalam hingga sekarang tidak memandang langsung ke sebelah kanan. Pandangannya hanya ditala ke luar kereta. Walaupun kesejukan di dalam kereta sudah mampu untuk membuat tergigil tetapi ia masih belum cukup untuk menyejukkan hatinya yang sedang mendidih kemarahan.
“Kita pergi makan ya Ana… abang bawa Ana ke tempat yang special hari ni…,” ucap Fariz dengan suara yang lembut. Untuk melancarkan sesi pembujukan, dia perlu berlembut dengan Diana.
“Tak perlu nak ajak makan semua… saya tengok muka awak pun dah tak lalu nak makan!” balas Diana kasar.
“And one more thing… don’t abang-abang with me!!! It’s sounds annoying!” sambung Diana dengan nada sinis. Senyuman sarkastik menghiasi bibir.
“Abang cuma nak kita jadi lebih mesra,” balas Fariz lembut dengan harapan Diana akan berlembut juga.
“Tak perlu kot… saya tak berminat nak bermesra alam dengan awak!” kasar lagi balasan dari bibir Diana.
Fariz mengetap bibir. ‘Aku berlembut, dia makin kasar pula! Sabar Fariz… sabar!’.
“Okay… kalau macam tu, kita pergi tengok wayang? Nak?” Fariz mencuba lagi. Ikutkan hatinya sendiri dia tidak mahu bertemu dengan Diana, tapi kerana mama… dia tidak kisah. Mama yang terlalu obses hendak bermenantukan Diana, tapi tengoklah sikap menantu pilihan mama ini macam mana! Hatinya mendengus kasar.

Diana mendiamkan diri. Otaknya ligat berfikir bagaimana hendak menyedarkan Fariz supaya tidak terus mendesaknya. Bagaimana dan apa yang perlu Diana lakukan? Bersikap kasar hanya akan menambahkan kemarahan lelaki itu dan dia akan terus mendesak sampai aku cakap setuju! Diana masih tekun berfikir.
‘Mungkin kami perlukan tempat yang tenang untuk berbincang! Nak pergi mana ya?’ soal Diana sendiri.
‘Tepi pantai? Queensbay dah selalu sangat aku pergi!Bosan… Ahah! Sementara ada driver ni…’ mata Diana melirik sekilas pada Fariz yang sedang memandu. Dia tersenyum dalam hati. ‘Bila lagi nak membuli? Peluang dah ada depan mata!’.
“Kita pergi Batu Feringghi nak?” soal Diana dengan ceria. Sengaja pura-pura berminat hendak keluar dengan Fariz si kaki berlagak ini.
“Batu Feringghi… sampai sana?” soal Fariz tidak percaya. Anggukan Diana menjawab persoalannya. Lalu, terus saja dia menghala kereta menyusur ke jalan Green Lane. Keretanya bergerak dengan lancar saja kerana keadaan trafik tidak begitu sibuk.

Walaupun dia kelihatan tenang memandu kereta Proton Persona yang berwarna Chrome itu, tetapi hatinya tidak tenang. Melihat wajah Diana yang tiba-tiba berubah ceria, membuatkan mindanya tertanya-tanya. Tadi bukan main kasar… tiba-tiba saja macam kena hypnotize berubah jadi ceria. ‘Dia akan setuju ke dengan perkahwinan ini?’ teka-teki yang mula bermain di kepalanya.
ANGIN pantai yang berdesir lembut seolah-olah mengalirkan ketenangan dalam jiwanya. Sejak turun dari kereta dia masih lagi belum memulakan bicara dengan Fariz. Kakinya terus saja melangkah ke anak pantai. Mujur saja air laut tidak pasang. Kalau tidak, tak dapat dia berdiri di sini. Lama dia menghadap ke wajah laut yang terbentang luas. Sekejap-sekejap matanya dipejam cuba menghayati keindahan ciptaan Allah. Terasa tenang.

Tetapi ketenangan yang singgah tidak lama. Saat jemari Fariz dengan selambanya menarik tangannya ke dalam genggaman terus saja mengubah riak wajahnya. Lelaki itu tersengih melihat wajahnya yang sudah berapi. Pantas Diana merentap tangannya.
“Suka hati dia ja!!!” marah Diana.
“Eh… kita kan nak dating, mestilah kena berpegang tangan…,” ucap Fariz dengan wajah yang tidak bersalah. Sekali dia menarik jemari milik Diana. Namun kali ini Diana sudah pantas menjarakkan diri.
Wajah Diana dipalit senyuman sinis mendengar jawapan dari Fariz.
“Saya ni… dilahirkan sebagai seorang Islam. Saya belajar hukum-hakam haram dan halal. Saya tak terpengaruh dengan budaya lain selain dari agama saya. Lainlah macam orang tu kan… dah kena pengaruh dek budaya barat. Duduk di UK lama sangat, sampai dah terlupa agaknya tentang hukum haram dan halal…,” sindir Diana. Jelingan tajam dihadiahkan buat Fariz. Dasar lelaki gatal! Ada saja peluang mula nak ambil kesempatan. ‘Mencemarkan tangan aku yang suci lagi murni dengan sentuhan kasar dia!’.
Fariz hanya menghadiahkan senyuman sinis kembali pada Diana. Geram pula rasanya bila gadis itu berlagak pandai hendak menegurnya itu dan ini.
“Oh ya… hukum haram dan halal. Kalau macam tu, keadaan kita keluar berdua ni… nak cakap macam mana? Haram atau halal?” sindir Fariz memulangkan paku keras pada Diana.
“Siapa yang ajak keluar?” suara Diana sudah meninggi. Geram bila Fariz asyik mewujudkan suasana tegang di antara mereka. Dia saja yang kena menang. Orang lain semuanya salah.
“Siapa suruh Ana ikut… abang tak paksa pun,” semakin panas hati Diana mendengar jawapan yang diberikan oleh Fariz.
“Stop using the word abang!!! I hate it and I hate you!” Diana menjerit geram. Kawasan pantai yang kosong pada ketika itu seolah-olah memberi ruang untuk dia mengekspresikan sebarang emosi. Nak menjerit sekuat hati pun tak apa.
“Suka hati abanglah!!!” balasan Fariz hanya menambahkan kejengkelan dalam hati Diana. Diana cuba untuk bertenang. Dia tahu, kalau mereka terus bergaduh macam anjing dan kucing, sampai ke sudah masalah takkan selesai.

“Encik Fariz… boleh tak awak jangan sakitkan hati saya!” ucap Diana perlahan. Dia sudah penat berfikir. Janganlah dipanjangkan lagi masalah ini.
“Abang tak sakitkan hati Ana pun… abang nak kita berbaik. Abang nak kita kahwin. Kenapa Ana degil sangat? Mama sedih sangat sebab Ana tak setuju…,” Fariz sudah kembali berbicara lembut. Turut diselitkan nama mama kerana dia berharap Diana akan rasa bersalah dan terus bersetuju.
“Kahwin?” Diana berkata sinis. “It’s very easy for you isn’t! Mudahnya mulut tu nak mengajak anak dara orang kahwin… awak dah lupa ke dengan status awak? Nak saya ingatkan balik ke… awak tu… suami orang!!!” Diana mengucapkan kata-kata dengan sinis sekali.
Inilah bebanan yang ditanggung Diana. Hendak diluahkan kebenaran tentang perkahwinan Fariz yang dirahsiakan dari pengetahuan keluarga, dia sudah berjanji bahawa dia tidak akan masuk campur. Dia mahu Fariz berterus-terang dengan Aunty Zuby. Berterus-terang tentang segalanya. Dia tidak dapat membayangkan apa reaksi emak dan abah jika mereka tahu yang sebenarnya anak mereka dilamar untuk menjadi isteri kedua. Dalam masa yang sama, status perkahwinan pertama dirahsiakan dari keluarga. Diana tidak sanggup.
‘Entah kenapa Fariz takut sangat nak berterus-terang tentang perkahwinan dia dengan mama. Berani kahwin, berani mengakulah kan?’.

“So… apa masalahnya dengan status tu? Bukannya family kita tahu pun…,” balas Fariz selamba. Diana semakin sakit hati mendengar jawapan dari bibir Fariz.
“Tak boleh ke awak berterus-terang dengan mama yang awak dah kahwin masa belajar dekat UK… apa masalahnya? Berterus-terang… susah sangat ke nak buat benda tu. Pandai kahwin, pandai mengakulah!!!” sinis saja Diana membalas.
“Ana tak perlu sibuk-sibuk nak fikir pasal hal perkahwinan abang… sekarang ni, Ana cuma perlu cakap setuju saja dengan rancangan perkahwinan kita, then everything will be settled!” Fariz begitu bersungguh-sungguh dengan tekadnya untuk mendesak Diana bersetuju dengan rancangan mama.

“Awak dah berkahwin dan saya tak nak kahwin dengan suami orang!!!” tegas Diana memberi jawapan. Ini adalah kata putus. Dia tidak akan berganjak dari jawapannya. Matanya melirik pada wajah Fariz yang berdiri di sebelah. Jelingan tajam dihadiahkan buat jejaka itu. Namun apabila bibir Fariz kembali mengukir senyuman penuh makna di wajahnya, Diana semakin tidak tentu arah!
‘Ah! Lelaki ini terlalu banyak agenda yang tersembunyi’ desisnya.

No comments: